| Ipoh,
27 Jan - Polis Perak pada Sabtu lepas memberkas tujuh suspek dipercayai
anggota Geng Pejai yang disyaki terlibat dalam 21 kes ragut dan samun.
Ketua
Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata kesemua suspek yang
berusia antara 23 dan 31 tahun terbabit ditahan di beberapa lokasi di
sini berserta pelbagai jenis barangan termasuk senjata tajam.
"Geng
berkenaan dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak tiga bulan
lepas. Mereka disyaki menggunakan motosikal jenis Yahama LC bagi
kegiatan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sasaran
mereka adalah kediaman yang penghuninya tiada di rumah atau mangsa dari
golongan wanita yang tinggal bersendirian atau ketiadaan suami kerana
bekerja, katanya.
Beliau berkata ketujuh-tujuh suspek diberkas di Taman Meru, Taman Meru Jaya dan Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan di Manjoi.
Sum
berkata suspek pertama berusia 23 tahun yang dipercayai bertindak
sebagai perancang utama geng itu ditahan di rumahnya di Taman Meru pada
pukul 3.30 petang.
Beliau berkata penahanan itu kemudiannya membawa kepada penahanan tiga lagi suspek yang diberkas di Taman Meru Jaya.
"Siasatan
terhadap penahanan kali kedua itu membawa pula kepada tiga lagi
penahanan suspek lain di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan," katanya.
Operasi
penangkapan di kampung itu menyaksikan berlaku pergelutan dengan pihak
polis kerana terdapat suspek yang mahu melarikan diri, katanya.
Beliau
berkata pemeriksaan lanjut turut mendapati enam daripada mereka pernah
disabitkan dengan kesalahan jenayah serta kes dadah di samping suspek
yang disyaki perancang utama turut pernah disabitkan kesalahan rogol.
Kesemua suspek direman sehingga Ahad ini, katanya.
Sumber : BERNAMA |