| Kota
Kinabalu, 25 Feb - Sebanyak 17 suspek sudah ditahan berhubung kes
menembak premis di sekitar bandar raya ini serta Penampang bulan lalu,
kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Wira Hj Hamza Taib. Beliau
berkata kebanyakan mereka adalah rakyat tempatan yang berumur antara 20
hingga 50 tahun yang ditahan di pelbagai lokasi di seluruh Sabah dari
27 Jan hingga 17 Feb lalu. Bagaimanapun enam daripada suspek yang diberkas melalui 'Ops Cermin' itu telah dibebaskan dengan jaminan polis. "Setakat
ini kita telah menerima 50 laporan, jadi kita membuka 50 kertas
siasatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis
perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari
ini. Dinding dan pintu kaca 46 premis seperti bank, salun dan premis makanan segera dilapor ditembak pada malam 10 Jan lalu. Hamza berkata turut dirampas ialah beberapa laras senjata dan kenderaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 32 Akta Senjata Api 1960. "Kita
akan terus cari bukti. Kita tahu siapa yang terlibat, namun kita masih
mengumpulkan bukti. Kita tahu tidak mudah untuk mencari bukti, sekarang
kita sedang menunggu penggazetan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan
Pemerluasan) 2013," katanya. Mengulas
mengenai pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama
Islam Pahang, Ahmad Raffli Abdul Malek, beliau berkata tiga suspek yang
diberkas baru-baru ini di sebuah rumah di Papar, telah tinggal di Sabah
sejak beberapa bulan lalu. Katanya dua daripada suspek berasal dari Johor dan seorang lagi dari Kelantan dan mereka datang ke Sabah kerana melarikan diri.
Sumber : BERNAMA |