Kota Kinabalu, 25 Feb - Sebanyak 17
suspek sudah ditahan berhubung kes menembak premis di sekitar bandar
raya ini serta Penampang bulan lalu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk
Wira Hj Hamza Taib.
Beliau
berkata kebanyakan mereka adalah rakyat tempatan yang berumur antara 20
hingga 50 tahun yang ditahan di pelbagai lokasi di seluruh Sabah dari
27 Jan hingga 17 Feb lalu.
Bagaimanapun enam daripada suspek yang diberkas melalui 'Ops Cermin' itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.
"Setakat ini kita telah
menerima 50 laporan, jadi kita membuka 50 kertas siasatan," katanya
kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan di Ibu
Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini. Dinding dan pintu kaca 46 premis seperti bank, salun dan premis makanan segera dilapor ditembak pada malam 10 Jan lalu. Hamza berkata turut dirampas ialah beberapa laras senjata dan kenderaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 32 Akta Senjata Api 1960. "Kita akan terus cari
bukti. Kita tahu siapa yang terlibat, namun kita masih mengumpulkan
bukti. Kita tahu tidak mudah untuk mencari bukti, sekarang kita sedang
menunggu penggazetan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan)
2013," katanya. Mengulas mengenai
pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam
Pahang, Ahmad Raffli Abdul Malek, beliau berkata tiga suspek yang
diberkas baru-baru ini di sebuah rumah di Papar, telah tinggal di Sabah
sejak beberapa bulan lalu.
Katanya dua daripada suspek berasal dari
Johor dan seorang lagi dari Kelantan dan mereka datang ke Sabah kerana
melarikan diri. - BERNAMA
|