Kuala
Lumpur - Selepas 10 hari dibebaskan dari penjara, seorang lelaki yang
dipercayai mengetuai satu kumpulan samun dan ragut yang aktif di bandar
raya ini, ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan itu, semalam.
Suspek
berusia 37 tahun, yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan dadah,
yang dibebaskan pada 14 Februari lalu, ditahan di sekitar bandarraya ini.
Ketua Polis Daerah Dang
Wangi, ACP Zainuddin Ahmad, berkata sebelum itu, suspek bersama tiga
rakannya berusia 17 hingga 37 tahun termasuk seorang warga Myanmar,
menyamun wang tunai dan telefon bimbit seorang lelaki yang tidur di
hadapan sebuah restoran makanan segera di Jalan Tun Perak, di sini. Kumpulan itu adalah antara
beberapa kumpulan yang aktif melakukan jenayah samun, ragut dan curi
pada tengah malam dan awal pagi di sekitar Tun H S Lee dan Dang Wangi.
"Dengan penahanan kumpulan ini, polis yakin dapat menyelesaikan puluhan kegiatan jenayah oleh kumpulan itu,” kata Zainuddin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun. Orang ramai yang mempunyai
maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah diminta menghubungi Rakan
Cop Polis KL di talian 03-2115 9999.
Sumber: Berita Harian 
Sumber: Berita Harian
|