| Kulaijaya,
19 Feb - Enam anggota Geng Komeng dan Geng Solo yang melakukan aktiviti
menyamun dan mencuri motosikal di Wilayah Iskandar Malaysia diberkas di
sini semalam. Dengan
tertangkapnya tiga anggota Geng Komeng yang berusia antara 23 dan 30
tahun dalam beberapa siri serbuan yang bermula 12.15 tengah malam hingga
pukul 4.45 pagi tadi di Taman Putri, pihak polis percaya mereka berjaya
menyelesaikan 10 kes samun. Polis
juga percaya geng tersebut yang mempunyai lebih 10 anggota turut
menyamar sebagai anggota polis berikutan penemuan kad kuasa polis pada
salah seorang suspek yang dipercayai ketua kumpulan itu. "Ketiga-tiga
suspek dipercayai terlibat dalam kes samun pusat hiburan keluarga,
kedai telefon bimbit serta pusat pengumpulan barangan lusuh," kata Ketua
Polis Daerah Kulaijaya, Supt Ruslan Khalid. Dalam
sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata modus operandi geng
tersebut ialah meninjau sasaran dengan menggunakan kenderaan pelbagai
guna dan bersenjatakan parang, kayu serta bertopeng muka ketika
menyamun. Polis
menemui semula pelbagai barangan samun seperti komputer riba, telefon
bimbit, dompet, rantai leher, lesen memandu dan sebuah Perodua Kancil
yang dilaporkan hilang di Shah Alam, Selangor. Anggota kumpulan itu yang masih bebas sedang diburu. |