Nibong Tebal, 11 April - Dua anggota 'Geng Raja' disyaki terlibat
beberapa
kejadian samun, ragut dan pecah rumah sekitar daerah Seberang Perai
Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT) ditahan dalam serbuan di
Taman Sejahtera, Bukit Mertajam dekat sini.
Dalam serbuan kira-kira
3 pagi Selasa lepas, polis turut menemui enam botol kaca berisi minyak
tanah yang menyerupai molotov koktail dalam rumah berkenaan. "Polis percaya ketika
ditahan dua lelaki berusia 26 dan 34 tahun itu baru merompak sebuah
rumah di Simpang Ampat. di sini," kata Ketua Polis Daerah SPS Supt
Shafien Mamat dalam sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata polis turut
merampas pelbagai barangan, antaranya telefon bimbit, peralatan
elektrik, komputer riba dan barangan kemas bernilai RM50,000 dipercayai
hasil samun kumpulan itu serta peralatan untuk menyamun iaitu pisau,
kapak, kunci pendua dan topeng muka. Shafien berkata dua lelaki
yang bekerja sebagai buruh binaan itu mempunyai rekod jenayah dan
seorang daripadanya baru dibebaskan daripada Penjara Tapah 18 hari lepas
berikutan kesalahan mencuri. Beliau berkata hasil ujian
air kencing mendapati kedua-dua lelaki terbabit positif dadah dan
siasatan awal polis mendapati mereka terlibat dalam sekurang-kurangnya
lima kes pecah rumah, samun dan ragut di Nibong Tebal.
"Kami juga
sedang siasat adakah kumpulan itu menghasilkan molotov koktail untuk
dijual atau diguna ketika melakukan pecah rumah...tetapi siasatan polis
setakat ini mendapati tiada kes pecah rumah yang menggunakan molotov
koktail," kata Shafien. - BERNAMA
|