| Banting,
21 Feb - Polis menahan dua lelaki dan merampas 675 liter diesel
bersubsidi bernilai RM1,350 yang dipercayai cuba diselewengkan
penjualannya. Timbalan
Ketua Polis Kuala Langat DSP Rizani Che Ismail berkata dalam kejadian
3.30 pagi tadi, dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun itu ditahan di sebuah
stesen minyak di Batu 7, Sijangkang dekat sini. Polis turut menyita dua
buah lori satu tan. "Ketika
ditahan, mereka sedang mengisi diesel ke dalam sebuah tong plastik.
Pemeriksaan lanjut ke atas dua lori itu menemukan enam lagi tong plastik
berisi diesel," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Beliau berkata kedua-dua lelaki itu disyaki mahu menjual semula minyak bersubsidi itu kepada pihak industri. Kes
itu diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan Selangor untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut
Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Sumber : BERNAMA |