| Sungai
Petani, 20 Feb - Empat lelaki warga Myanmar ditemui tidak bermaya
dengan tangan dirantai di sebuah rumah di belakang sebuah hotel di Jalan
Besar di sini malam tadi. Kesemua
lelaki berusia 30-an itu dipercayai dikurung di dalam rumah itu selepas
memasuki negara ini secara haram melalui Thailand sembilan hari lepas. Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Nashir Ya berkata polis menemui
empat lelaki itu kira-kira pukul 10 malam dengan tangan dirantai dan
ditempatkan di bahagian dapur rumah usang yang dijaga seorang lelaki
warga Myanmar lain. Katanya
siasatan awal mendapati keempat-empat lelaki itu dikurung pihak
tertentu bertujuan meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa yang
berada di Myanmar. "Seorang
daripada mangsa mengakui dibawa masuk ke negara ini sejak sembilan hari
lalu sebelum ditempatkan di rumah terbabit," katanya ketika dihubungi
di sini hari ini. Nashir berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang kegiatan itu.
Sumber : BERNAMA |