Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

Enam Lelaki Ditahan, Enam Kenderaan Dirampas

Kuala Krai, 3 April - Polis menahan enam lelaki dan merampas enam kenderaan yang dipercayai dicuri dalam Ops Cantas Khas di sekitar daerah ini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Ab Rahim Che Ghani berkata kesemua suspek yang berumur antara 33 hingga 66 tahun itu ditahan di rumah mereka dalam lima serbuan berasingan.

"Hasil risikan, polis melakukan lima serbuan di Chenulang, Kampung Pehi, Bukit Sireh, Kampung Pria dan Guchil antara pukul 5 petang sehingga 10 malam.

"Daripada mereka, polis merampas enam buah kenderaan yang disyaki kenderaan curi," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Tiga kenderaan yang dirampas terlibat dengan kes curi dan dilaporkan hilang di luar dari negeri ini dan tiga lagi kita masih belum pasti kerana nombor casis dan enjinnya telah diganggu. Kita akan panggil forensik untuk lakukan siasatan lanjut.

"Kesemua suspek kini direman selama empat dari tarikh ditahan dan pihak kami akan sambung reman kesemua suspek untuk siasatan lanjut," kata Ab Rahim.

Beliau berkata kesemua mereka di tahan di bawah seksyen 29(1) Undang-undang Kesalahan Kecil 2000 kerana gagal memberi keterangan berhubung barang yang dimiliki.

Sementara itu beliau berkata pada hari yang sama pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berumur 20 tahun bersama 116 biji pil kuda di rumahnya di Kampung Batu Balai di sini pada pukul 12.10 tengah malam.

"Polis menemui beg kecil yang mengandungi 116 biji pil warna kemerahan disyaki dadah jenis pil kuda dan kini telah ditahan reman," katanya.

Beliau berkata siasatan awal kesemua pil kuda tersebut yang dianggarkan bernilai RM2,320 dan untuk pasaran di sekitar daerah tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seksyen berkenaan boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang tiga sebatan tetapi tidak melebihi sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sumber : BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS