| Rompin,
9 Feb - Polis menahan enam lelaki termasuk remaja 14 tahun kerana
menggali sebuah kubur Orang Asli di Kampung Deraman, Batu 3, Kuala
Rompin di sini dipercayai untuk tujuan perubatan.
Ketua
Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata polis yang dimaklumkan
kejadian itu oleh penduduk kampung berkenaan, menahan mereka kira-kira
9.30 malam semalam.
"Siasatan
awal mendapati seorang suspek berada dalam senarai dikehendaki dan
seorang lagi suspek mempunyai rekod jenayah. Kesemua suspek ditahan bagi
membantu siasatan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh
tanah perkuburan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata suspek mengaku menggali kubur itu untuk mengambil tulang orang mati bagi tujuan perubatan.
Sementara
itu, seorang penduduk Tan Din, 39, berkata beliau menyedari kejadian
itu ketika pulang ke rumahnya selepas menghadiri mesyuarat bersama ketua
kampung kira-kira 9 malam.
"Saya
curiga apabila melihat ada cahaya lampu suluh di dalam kawasan
perkuburan dan sebuah kereta diletakkan di tepi jalan berhampiran
kawasan itu.
"Ketika
bertanya kepada tiga orang yang berada berhampiran kereta itu, mereka
memberi alasan kereta itu mempunyai masalah enjin," katanya.
Curiga
dengan jawapan diberikan, beliau memaklumkan perkara itu kepada Tok
Batin Kampung Deraman, Atan Abdul Rahman, 54, yang kemudian terus
melapor kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK) Kampung Deraman, Rosman Sulong, 39.
Rosman
berkata beliau bersama penduduk kampung lain pergi ke kawasan itu dan
mendapati tiga lelaki sedang menggali kubur berkenaan. Sumber : BERNAMA |