Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

Geng Kimi Akhirnya Tumpas

Ipoh, 8 Mac - Polis berjaya menumpaskan Geng Kimi yang bergiat aktif mencuri dan meleraikan komponen motosikal jenis Honda EX5 untuk dijual pada harga yang murah kepada orang awam di sekitar Jelapang dan Kampung Tawas sejak tiga bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pada operasi jam 4 pagi Rabu lalu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sedang melakukan rondaan Ops Lejang di sekitar Taman Wing Onn.

Beliau berkata, ketika anggotanya meronda di kawasan perumahan tersebut, mereka telah terserempak dengan dua lelaki yang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit yang sedar akan kehadiran anggota polis berhampiran mereka segera melarikan diri dari kawasan berkenaan.

"Anggota kami segera mengejar suspek dan menahan mereka di Kampung Tawas sebelum membawa mereka balik untuk disoal siasat.

"
Hasil soal siasat ke atas lelaki berusia 16 dan 19 tahun itu mendapati mereka memang terbabit dalam kes curi motosikal bersama seorang lagi lelaki dipercayai ketua mereka yang berusia 30 tahun.

"
Mereka turut membawa kami ke sebuah lombong yang terletak di Bandar Meru Raya tempat mereka membuang rangka motosikal,” katanya pada sidang media di IPD Ipoh, semalam.

Beliau berkata, selepas dua lelaki yang tidak bersekolah itu ditahan, mereka menyerbu sebuah rumah di Bandar Meru Raya dipercayai kediaman ketua kumpulan mereka yang bekerja sebagai buruh.

Hasil pemeriksaan, kami menemui beberapa komponen motosikal antaranya tempat duduk dan 'handle' motosikal yang disorok di siling rumah tersebut.

"
Siasatan turut mendapati kumpulan tersebut hanya menggunakan pemutar skru untuk mencuri motosikal yang diletakkan di tempat tumpuan awam," jelasnya. Chang Keong berkata, pihaknya meminta bantuan Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk menyelam di lombong sedalam tiga meter untuk mengeluarkan rangka motosikal tersebut.

"
Kami berjaya menemui lima rangka dan dua enjin motosikal serta beberapa komponen lain hasil selaman itu. Berikutan itu, kami berjaya menyelesaikan 10 kes kecurian motosikal yang berlaku di Jelapang, Kampung Tawas dan Taiping," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

"
Ketiga-tiga ahli kumpulan yang juga mat rempit direman sehingga 9 Mac ini bagi membantu siasatan," katanya.

Sumber : Sinar Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS