| Alor
Setar, 25 Mac - Indeks jenayah di Kedah mencatat penurunan 9.99 peratus
atau 161 kes bagi tempoh Januari hingga Februari lepas berbanding
tempoh sama pada 2013. Penolong
Ketua Polis Kedah Datuk Zaleha Abdul Rahman berkata dalam tempoh itu,
sejumlah 1,450 kes dicatatkan berbanding 1,611 kes dalam tempoh sama
tahun lepas. "Daripada
1,450 kes itu, 555 kes berjaya diselesaikan dan ini menunjukkan trend
penurunan terhadap indeks jenayah di Kedah," katanya kepada pemberita
selepas Sambutan Hari Polis ke-207 di Ibu Pejabat Kontinjen Kedah di
sini hari ini. Zaleha
juga berkata pada tahun ini pihaknya akan menjalankan program
membanteras gejala rasuah bersempena 'Kempen Tolak Rasuah'. Ketua
Polis Daerah Langkawi Supt Harrith Kam Abdullah menasihatkan
penduduknya supaya mematuhi undang-undang jalan raya, agar ia menjadi
teladan yang baik kepada pelancong yang berkunjung ke pulau peranginan
itu. Beliau
berkata kadar kemalangan membabitkan pelancong asing sejak kebelakangan
ini meningkat berikutan mereka tidak mematuhi aspek-aspek keselamatan
jalan raya terutama pemakaian topi keledar. "Ketika
anggota polis menahan pelancong asing yang tidak memakai topi keledar,
mereka merujuk kepada penduduk tempatan yang melakukan kesalahan sama,"
katanya dalam sidang media selepas Sambutan Hari Polis ke-207 di Ibu
Pejabat Polis Daerah Langkawi di sini hari ini. Sumber : BERNAMA |