Kuala Lumpur, 5 Mac - Polis
Kontinjen Kuala Lumpur merekodkan penurunan kadar jenayah indeks
sebanyak 3.3 peratus tahun lepas iaitu sebanyak 23,755 kes berbanding
tahun sebelumnya sebanyak 24,572 kes.
Ketua
Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata statistik yang
membabitkan penurunan sebanyak 399 kes itu merupakan hasil daripada
perancangan pencegahan jenayah yang tepat dan kerjasama dengan badan
bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat.
“Saya
berharap agar semua ketua polis daerah dan warga polis Kuala Lumpur
akan terus meningkatkan usaha bagi memastikan kejayaan yang lebih baik
pada masa akan datang khususnya tahun 2014.
“Bersempena
dengan Tahun Melawat Malaysia tahun ini, pelbagai kempen, promosi dan
aktiviti telah dan akan diadakan. Sebagai pegawai dan anggota polis yang
amat penting adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan para
pelancong,” katanya semasa perhimpunan bulanan kontinjen Kuala Lumpur
di sini hari ini.
Beliau berkata penugasan
polis trafik juga adalah perlu untuk memastikan kerja pembangunan yang
sedang dijalankan termasuk pembinaan MRT tidak mengganggu lalu lintas
dan keselesaan pelancong yang berkunjung ke Bandaraya Kuala Lumpur. Mohmad turut memberikan
saranan kepada ketua jabatan dan ketua polis daerah agar melancarkan
operasi khusus di samping menjalinkan kerjasama erat dengan komuniti
setempat. “Dalam konsep total
policing, koloborasi dengan agensi lain turut diutamakan seperti
kerjasama yang dijalinkan dengan pihak Petron Malaysia bagi kempen 1Aman
Go to Safety Point, kerjasama dengan Yayasan Pencegahan Jenayah
Malaysia Kuala Lumpur dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur. "Saya percaya kerjasama
seperti ini akan menghasilkan impak yang lebih besar daripada kita
bekerja sendirian dan saya yakin masyarakat akan melihat secara positif
apabila institusi kerajaan, swasta mahupun NGO dapat bekerja sebagai
satu pasukan dan mendorong masyarakat membantu usaha pihak polis dalam
mengurangkan jenayah,” katanya. Pada majlis itu beliau
turut melepaskan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Kontinjen Kuala
Lumpur sempena penambahan sebanyak 51 unit motosikal jenis Kawasaki
Ninja 250 (STD) bagi kontinjen berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan
196 buah.
Mohmad berkata penambahan itu turut membabitkan peluasan
kawasan rondaan ke lokasi tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat
Malaysia 2014.
Sumber: BERNAMA
|