| Kapar,
22 Feb - Polis Selangor mencatatkan penurunan indeks mencegah jenayah
sehingga empat peratus di beberapa daerah di negeri ini dalam tempoh dua
bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas. Ketua
Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata penurunan itu
melibatkan jenayah pecah rumah dan jenayah jalanan, berikutan kegigihan
anggota polis menjaga keamanan masyarakat. Lima
daerah yang mencatatkan penurunan indeks mencegah jenayah ialah Klang
Utara, Serdang, Kuala Langat, Ampang Jaya dan Shah Alam. "Sejak
1 Jan hingga hari ini, indeks cegah jenayah dapat diturunkan di
beberapa daerah di negeri ini dengan Klang Utara antara daerah terbaik
dalam menunjukkan penurunan itu. "Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mencegah jenayah menetapkan
sekurang-kurang 10 peratus jenayah perlu diturunkan. Daerah Klang Utara
menunjukkan penurunan sehingga 20 peratus dan ini kejayaan
membanggakan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Beliau
sebelum itu menyertai program Kayuhan Mesra bersama Komuniti yang
disertai 565 peserta meliputi laluan sejauh 34 kilometer anjuran Ibu
Pejabat Polis Daerah Klang Utara. Mohd
Shukri turut meminta masyarakat supaya tidak lalai menjaga keselamatan
diri kerana usaha mencegah perilaku jenayah bukan tanggungjawab polis
semata-mata namun memerlukan kerjasama semua pihak.
Sumber : BERNAMA |