Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

Kerjasama PPM-POLAIR Banteras Jenayah Di Laut

Tawau, 20 Feb - Pertemuan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau bersama Polisi Perairan Indonesia (POLAIR) yang diadakan di perairan persempadanan Malaysia/Indonesia-Laut Tanjung Saima, di sini pada 17 Februari lalu dijangka dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh kedua-dua pihak sekaligus dapat membanteras aktiviti jenayah di perairan negara masing-masing.

Menurut Komander PPM Wilayah Empat, ACP Mohamad Madun, delegasi PPM yang diketuai oleh Inspektor Mohd Puad Osman telah menyampaikan permasalahan berkaitan aktiviti penyeludupan keluar syabu dan baja amonium nitrat ke Indonesia dan penyeludupan masuk rokok ke Tawau.

AKBP Harun Rosyid selaku ketua delegasi POLAIR turut menyampaikan beberapa permasalahan yang dihadapi oleh pihak berkuasa Indonesia antaranya aktiviti penyeludupan syabu secara berperingkat ke Indonesia, kes kecurian dan rompakan di laut, serta penyeludupan barang dari Tawau ke Indonesia yang sukar dikesan perlu di'scan' di pintu masuk pemeriksaan di Nunukan, Indonesia.

"POLAIR juga meminta supaya pihak berkuasa Malaysia dapat membenarkan warga Indonesia yang bekerja di Sabah dapat pulang ke negara asal untuk bercuti hanya menggunakan surat akuan cuti.

"Mereka turut mencadangkan supaya operasi mencari dan menyelamat dijalankan bersama jika berlaku sesuatu kejadian di kawasan sempadan kedua-dua negara", jelas Mohamad lagi.

Sebelum berakhir, POLAIR turut menyerahkan satu salinan orang dikehendaki bagi mendapatkan bantuan PPM mengesan individu berkenaan berhubung kes syabu yang dilaporkan di Sungai Nyamuk, lndonesia.


Sumber : Pasukan Polis Marin Tawau, Sabah

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS