| Kapar
- Sekumpulan empat penjenayah menaiki sebuah kereta bertindak nekad
merempuh sekatan jalan raya diadakan anggota polis di Kampung Bukit Kuda
di sini, sebelum cuba bersembunyi di sebuah masjid berhampiran. Dalam
kejadian jam 12.30 tengah malam Sabtu lalu, suspek yang menaiki kereta
curi dikatakan terkejut sejurus terserempak sepasukan anggota polis dari
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang membuat sekatan jalan
raya dalam Op Cantas Khas di kawasan itu. Suspek kemudian nekad merempuh sekatan jalan raya itu dalam usaha untuk meloloskan diri walaupun cuba ditahan. Anggota
polis kemudian bertindak mengejar kereta penjenayah sebelum kenderaan
dinaiki berhenti di tepi jalan berhampiran sebuah masjid di Kampung
Kuantan kira kira satu kilometer dari lokasi sekatan jalan raya. Salah
seorang daripada suspek berusia 22 tahun bagaimanapun berjaya diberkas
selepas ditemui bersembunyi di dalam kawasan semak berhampiran. Hasil
pemeriksaan, polis menemui parang di dalam kereta itu selain beberapa
telefon bimbit dan kad kredit yang dipercayai milik mangsa disamun.
Suspek didapati turut menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kereta
itu. Sementara
itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor
Sulong mengesahkan penahanan suspek dan usaha memburu tiga lagi suspek
masih diteruskan.  Sumber : Keratan Akhbar Harian Metro |