George Town, 6 Mac - Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi
hukuman
gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas
didapati bersalah mengedar 1,875.7 gram methamphetamine, dua tahun
lepas.
Hakim
Datuk Zamani Abdul Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati
pembelaan Adhy Tedjajadi, 35, tidak boleh dipercayai dan tidak mempunyai
asas yang kukuh.
"Pihak
pembelaan juga gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir
kes pembelaan. Justeru, tertuduh didapati bersalah dan dihukum gantung
sampai mati," katanya.
Adhy yang berkemeja warna biru kelihatan tenang dan mengangguk tanda faham ketika hakim menjatuhkan hukuman terhadapnya. Mengikut pertuduhan, Adhy
yang bekerja sebagai pengaturcara komputer dan tinggal di Bandung,
Indonesia didakwa melakukan kesalahan itu di ruang ketibaan antarabangsa
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 5.40 petang, 15 Ogos
2012. Dadah itu ditemui oleh
polis di dalam sebuah beg selepas proses imbasan beg dijalankan di
kaunter imigresen di lapangan terbang berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Talib manakala Adhy diwakili peguam Azura Alias.
Sumber:BERNAMA
|