Kota
Kinabalu, 10 Mac - Seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai pegawai
polis dan menipu keluarga orang kena tahan (OKT) di beberapa daerah di
Sabah ditahan berhampiran bangunan Majlis Perbandaran Sandakan, dekat
sini, hari ini.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah Supt Saiman Kassim berkata
suspek berusia 51 tahun itu ditahan pukul 8.40 pagi dan siasatan awal
mendapati dia terlibat 10 kes penipuan iaitu empat kes di Kota Kinabalu,
Papar (dua), Tawau (dua) dan masing-masing satu kes di Kinabatangan
serta Lahad Datu.
Beliau
berkata modus operandi suspek menghubungi keluarga OKT menawarkan
bantuan membebaskan tahanan dari lokap dan sebagai balasan mangsa perlu
membayar antara RM500 dan RM1,000 serta tambah nilai telefon bimbitnya
bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan.
"Sekiranya
anggota keluarga OKT bersetuju, suspek akan memberi nombor akaun CIMB
dan Maybank. Kita turut merampas dua keping kad sim dipercayai digunakan
dalam kegiatan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Suspek
kini ditahan reman bagi siasatan lanjut. Sehubungan itu, Saiman
menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila berurusan dengan
individu yang tidak dikenali terutama melalui telefon atau khidmat
pesanan ringkas.
Sumber : BERNAMA