| Nibong
Tebal, 14 Mac - Seorang lelaki yang dikehendaki polis ditahan,
kira-kira sejam selepas dia dilapor meragut seorang lelaki di Bukit
Tengah di sini, semalam. Ketua
Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata lelaki
itu ditahan di Bukit Minyak di sini, selepas polis mengejar kenderaannya
sejauh dua kilometer dari tempat dia dikesan di Taman Belibis, Simpang
Ampat, pukul 6 petang. Polis
juga terpaksa melepaskan tembakan ke arah kenderaan lelaki terbabit
selepas tembakan amaran tidak diendahkan, sebaliknya dia cuba menghimpit
kenderaan polis yang mengejarnya, kata beliau dalam sidang akhbar di
sini hari ini. Beliau
berkata lelaki berusia 29 tahun itu dikesan di Taman Belibis, Simpang
Ampat ketika dipercayai merancang untuk menyamun mangsa lain. Hasil
pemeriksaan terhadap lelaki itu, polis menemui kad pengenalan milik
seorang lelaki yang dilapor diragut di Bukit Tengah pukul 5 petang dan
enam kad ATM pelbagai bank, katanya. Shafien
berkata kereta yang digunakan lelaki terbabit adalah kereta yang
dilapor hilang di Semanggol, Perak pada 3 Mac lepas dan polis turut
menemui pelbagai barangan, antaranya parang dan kunci pendua. "Lelaki
terbabit dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak beberapa bulan
lepas bersama rakannya berusia 20-an. Kedua-dua mereka memang
dikehendaki polis Pulau Pinang," katanya. Beliau berkata polis kini menggiatkan usaha untuk mengesan rakan lelaki terbabit yang dikenal pasti. Sumber : BERNAMA |