Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

PDRM Optimis Kurangkan Kadar Jenayah Remaja

Dungun, 28 Feb - Polis Diraja Malaysia (PDRM) optimis dapat mengurangkan kadar jenayah dalam kalangan remaja khususnya pelajar sekolah rendah dan menengah menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata bagi merealisasikan hasrat itu, PDRM bersama-sama Kementerian Pendidikan dan Angkatan

Tentera Malaysia (ATM) akan memperkasa Program Remaja Berwawasan di seluruh negara.

"Remaja hari ini sangat rapuh. Mereka terdedah kepada pelbagai ancaman dan godaan yang mampu merosakkan mereka. Statistik menunjukkan peningkatan sebanyak 149 peratus masalah jenayah dalam kalangan golongan ini pada tahun lepas," katanya kepada pemberita pada majlis penutup Kursus Penataran Jurulatih

Program Remaja Berwawasan di Pusat Latihan Polis di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pendidikan ATM Brig Jen Datuk Anuar Sabtu, Timbalan Komandan Maktab PDRM Datuk Zakaria Yusuf dan Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Hamzah Md Jamil.

Mohd Fuzi berkata antara program pengisian yang lebih menarik dirancang untuk golongan sasar berusia antara 12 dan 17 tahun bagi tahun ini ialah kem musim panas termasuk dua di Terengganu dan satu di Kelantan.

Beliau berkata program itu bukan sahaja bertujuan menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar, malah mempersiapkan modal insan yang merupakan aset utama dalam kelansungan program transformasi negara.

Menurutnya ancaman kepada keperibadian dan sikap pelajar berpunca daripada keadaan persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan keluarga bermasalah selain kecanggihan teknologi.

"Saya percaya dengan adanya penerapan nilai-nilai positif, program ini akan meningkatkan lagi jati diri pelajar serta membuatkan mereka lebih menghargai diri sendiri, ibu bapa, keluarga, sekolah, masyarakat dan negara," katanya. 

Sumber : BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS