| Kuala
Lumpur, 8 April – Gara-gara mengelakkan diri daripada ditahan pihak
polis, seorang lelaki terpaksa terlantar di hospital akibat terjatuh
dari bumbung sehingga menyebabkan pinggangnya patah, Jumaat lalu.
Dalam
sidang media yang berlangsung di Dewan Theaterette, Bukit Aman hari
ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Risikan / Operasi / Rekod (D4)
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, SAC Abd Manaf Abdul Razak
berkata lelaki tersebut antara suspek yang ditahan bersama dua rakan
yang lain dalam serbuan ke atas sebuah bangunan yang dijadikan gudang
pengumpulan dan meleraikan kenderaan curi terutamanya model Toyota Hilux
dan Fortuner sebelum diseludup ke negara luar melalui jalan laut. "Dengan
tertangkapnya suspek-suspek ini, kami percaya telah berjaya mematahkan
satu sindiket curi kenderaan dan menyelesaikan 17 kes curi kenderaan
yang dianggarkan kerugian hampir RM2 juta". "Dalam
serbuan tersebut kami telah merampas beberapa kenderaan yang dipercayai
dicuri termasuk sebuah kereta model Nissan Cefiro yang menggunakan
nombor pendaftaran Singapura serta pelbagai komponen dan peralatan
meleraikan kenderaan seperti gas oxy", tambahnya lagi. Dalam
sidang media yang sama, Polis Diraja Malaysia turut menerima lima buah
kenderaan yang dicuri di negara ini yang telah diserahkan oleh Royal
Thai Police (RTP) dalam sebuah operasi yang dijalankan oleh pihak
berkuasa negara itu di Bandar Maek Long dan Khukup, Thailand baru-baru
ini. Kerjasama
tersebut merupakan permulaan yang baik dan berterusan selain memberi
amaran kepada penjenayah curi kenderaan bahawa aktiviti mereka akan
dibanteras sehingga ke akar umbi. "PDRM
akan terus bekerjasama dengan mana-mana pasukan polis daripada negara
luar dalam usaha membendung kes kecurian kenderaan bagi memastikan
sindiket tidak dapat bergerak bebas biarpun diluar negara", katanya
lagi.    Sumber : Unit Portal Dan Media Sosial Bukit Aman |