| Kota
Bharu, 6 Feb - Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menyelesaikan 43 kes
jenayah termasuk penyeludupan dalam Ops Cantas Khas PGA di empat daerah
yang terletak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dalam tempoh dua
minggu lepas.
Komander
Bridged Tenggara PGA Datuk Azizan Abu Taat berkata seramai 60 anggota
dan pegawai PGA telah menyertai operasi itu yang melibatkan daerah
Tumpat, Tanah Merah, Pasir Mas dan Jeli, sejak 21 Jan lepas.
"Kita
berjaya menumpaskan beberapa kegiatan penyeludupan berisiko tinggi
seperti senjata api, dadah dan jenayah lain di empat daerah berkenaan.
"Daripada
43 kes tersebut, kita berjaya menahan 72 penjenayah dengan nilai
keseluruhan rampasan sebanyak RM63,043," katanya kepada pemberita
selepas Majlis Taklimat Ops Cantas Khas Bridged Tenggara, PGA di Mess
Pegawai PGA di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan Supt Azli Mohd Noor.
Azizan berkata pihaknya akan menempatkan beberapa anggota PGA di beberapa balai di empat daerah tersebut.
"Operasi
ini akan dilaksanakan secara berterusan dan penguatkuasaan akan
dipergiatkan di empat daerah sempadan bagi mengawal aktiviti kemasukan
senjata api, pistol dan senapang tiruan serta dadah dari sempadan.
"Kita akan berusaha untuk membanteras sindiket ini daripada terus masuk ke negara ini," katanya.
Sementara
itu, pada majlis tersebut seramai 30 pegawai serta anggota PGA menerima
surat penghargaan di atas kejayaan mereka menyelesaikan kes sepanjang
Ops Cantas Khas PGA dilaksanakan. Sumber : BERNAMA |