| Hulu
Terengganu, 3 Mac - Polis memberkas seorang lelaki berusia 47 tahun
semalam kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di
sekitar Pekan Ajil. Ketua
Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Hussin Deraman berkata turut ditemui
bersama suspek adalah dadah bernilai kira-kira RM16,000. Hasil
pemeriksaan yang dijalankan polis menemui sejumlah botol berisi serbuk
putih dipercayai heroin dan beberapa paket plastik mengandungi pil
dipercayai dadah jenis pil kuda. Suspek
berjaya ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan
Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu
dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Hulu Terengganu, katanya pada sidang media di IPD Hulu Terengganu di
sini hari ini. Katanya
suspek kini direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan dan
suspek mempunyai empat rekod lampau membabitkan kesalahan berkaitan
dadah. Sumber : BERNAMA |