Alor Setar, 17 April - Polis Kedah merampas 40 ketulan ganja
seberat 39 kilogram bernilai RM80,000 dan menahan dua lelaki tempatan di Jalan Hutan Kampung dekat sini Selasa lepas.
Ketua Jabatan Siasatan
Jenayah Narkotik Kedah, Supt Abd Razak Mohd Zain berkata dalam kejadian
kira-kira pukul 8 malam itu anggotanya menahan sebuah kereta Proton
Perdana di tepi jalan itu dalam keadaan mencurigakan. Katanya hasil pemeriksaan
mendapati terdapat ketulan ganja dalam but kereta milik salah seorang
suspek yang ditutup dengan kain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Beliau berkata kedua-dua
suspek yang ditahan berasal dari Alor Setar dan suspek berusia 38 tahun
bekerja sebagai pemandu peribadi sementara suspek berusia 48 tahun pula
adalah pemilik sebuah kedai makan. "Kedua-dua mereka tidak
mempunyai rekod jenayah sebelum ini. Kita percaya mereka mahu mengedar
dadah tersebut di sekitar negeri ini dan negeri berjiran lain," katanya
kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini. Abd Razak berkata kedua-dua
mereka ditahan reman bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu
siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Sementera itu Abd Razak
berkata menerusi operasi khas pada 13 dan 14 April lepas di seluruh
daerah di negeri ini, pihaknya menahan 134 orang yang terlibat dalam
pelbagai kesalahan dadah. Katanya pihaknya turut merampas 437 gram heroin, 80.6 gram syabu, 3.37 gram ganja, 88.8 liter air ketum dan 55 kg daun ketum.
Beliau
berkata jumlah kes tangkapan dadah turut menunjukkan peningkatan
daripada 4,495 kes daripada 1 Jan hingga 16 April 2013 kepada 4,574 kes
pada tempoh yang sama tahun ini. - BERNAMA
| | |