Alor
Setar, 27 April - Polis Kedah merampas pelbagai jenis senjata api dan
peluru serta menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di
sebuah rumah sewa di Taman Anggerik di sini semalam. Ketua
Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam serbuan kira-kira 5
petang itu, tiga pistol jenis Glock, VZOR caliber 7.65mm dan pistol
angin jenis Revolver serta 247 peluru pelbagai caliber ditemui dalam
sebuah kereta milik seorang suspek lelaki berusia 40 tahun. Beliau
berkata turut dirampas sebahagian komponen senjata api M16, dua alat
penyerap bunyi dan satu teleskop dipercayai digunakan untuk aktiviti
jenayah. "Suspek
berusia 40 tahun yang menyimpan senjata api dalam keretanya dipercayai
geng kongsi gelap berdasarkan tatu pada badannya dan mempunyai empat
rekod jenayah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Kedah di sini hari ini. Katanya
polis turut merampas dua paket heroin seberat 46.53 gram milik seorang
suspek lelaki berusia 25 tahun dan suspek wanita berusia 31 tahun dalam
sebuah bilik di tingkat atas rumah dua tingkat itu. Ahmad
berkata ketika serbuan dilakukan suspek lelaki itu cuba membuang dadah
yang berada dalam poketnya dan cuba melarikan diri dengan menyorok dalam
tandas. Beliau
berkata suspek berumur 40 tahun itu berasal dari Perlis manakala
seorang lagi suspek lelaki berasal dari Jitra dan suspek wanita pula
berasal dari Kuala Lumpur. "Kita
reman ketiga-tiga suspek sehingga 3 Mei depan untuk siasatan. Kita
turut siasat sama ada kes jenayah yang berlaku di negeri ini mempunyai
kaitan dengan suspek terlibat," katanya. Sumber : BERNAMA |