| Kuala
Lumpur, 12 Mac - Polis menahan enam lelaki tempatan dipercayai terlibat
dalam dua kes pecah Mesin Pengeluaran Automatik (ATM) di Bangsar dan
Putrajaya, pada 3 dan 10 Feb lepas. Dalam
kejadian pertama kira-kira 12.05 tengah malam, polis menerima panggilan
daripada pembantu penyiasat dalaman syarikat kawalan keselamatan bahawa
sebanyak RM80,000 yang sepatutya ada dalam mesin ATM itu hilang. Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata susulan
itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 22 dan 24 tahun di rumah
masing-masing di Kuala Selangor, dekat sini pada pagi Khamis lepas. Katanya,
pihaknya juga merampas sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipercayai
dibeli daripada hasil duit curi iaitu sebanyak RM20,000. "Usaha
untuk mendapatkan semula baki wang yang dicuri giat dijalankan,"
katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari
ini. Dalam kes kedua, Gan berkata sebuah mesin ATM di Jalan Presint 2, Putrajaya telah dipecah dan sebanyak RM80,000 dilarikan. Katanya pemeriksaan pada mesin ATM itu mendapati ia diumpil dan galang tambahan dipatahkan. "Kami
percaya kedua-dua kes ini didalangi orang dalam syarikat keselamatan
berkenaan yang mempunyai kemahiran dalam pengoperasian mesin ATM, yang
menyebabkan kehilangan wang ini gagal dikesan alat penggera keselamatan
yang terdapat pada mesin berkenaan," jelas beliau. Beliau
berkata susulan itu pihaknya menahan tiga lelaki berusia antara 27 dan
29 tahun di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam, di sini dan turut dirampas
tiga telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM1,720, topeng muka dan lapan
keping slip transaksi bank. Sumber : BERNAMA |