| Kota
Baharu, 31 Mac - Polis menahan sepasang suami isteri bersama 39,399
biji pil dipercayai pil kuda yang dianggar bernilai hampir RM1 juta di
Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang, semalam. Ketua
Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pasangan itu yang
berumur 21 dan 25 tahun ditahan pada 2.45 pagi di rumah mereka oleh
anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Kelantan. "Pemeriksaan ke atas pasangan terbabit membawa kepada penemuan beberapa biji pil yang disyaki pil kuda. "Setelah
disoal siasat, suspek membawa polis ke tempat dadah disembunyikan yang
mana kesemua dadah itu diletakkan di dalam sebuah tin milo dan sebuah
tong plastik yang ditanam dalam tanah yang terletak di hutan belakang
rumah suspek," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Kelantan di sini, hari ini. Jalaluddin
berkata pihaknya turut menyita wang tunai RM39,599 dan mata wang
Thailand 9,000 Bath, serta sebuah kereta Proton Wira dan sebuah
motosikal. Jalaluddin
berkata dadah itu disyaki untuk diedarkan di seluruh Kelantan dan ujian
awal saringan air kencing kedua-duanya didapati negatif serta tidak
mempunyai rekod jenayah lampau. Beliau berkata pasangan itu direman selama seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut. |