Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

Polis Tahan Tiga Suspek Terlibat Sindiket Curi Lori

Kuantan, 3 April - Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam sindiket mencuri tujuh lori di Rompin dan Johor Baharu untuk diguna bagi mengangkut kelapa sawit di kawasan Felda Berabong dan Selendang berhampiran Endau-Rompin awal hari ini.

Dalam serbuan pada kira-kira 4 pagi itu, kesemua suspek termasuk seorang kontraktor berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan ketika sedang tidur di sebuah bengkel membaiki kenderaan dekat Felda Selendang.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata kontraktor terbabit dikatakan mendapat kontrak menguruskan ladang manakala dua lelaki itu adalah pekerjanya.

"Polis percaya suspek memadam nombor casis lori sebelum dibawa ke kawasan Felda sekitar daerah Rompin untuk digunakan mengangkut kelapa sawit.

"Tujuh lori yang ditemui tidak mempunyai cukai jalan serta insurans malah ada yang direkod hilang, dan polis akan berusaha mengesan semula semua nombor casis yang dikikis itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata polis akan membuat pemeriksaan di ladang lain di Rompin serta memburu beberapa individu yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan siasatan berkaitan sindiket mencuri lori ini mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Johari juga berkata dalam operasi sama, polis menahan 31 warga asing dari Bangladesh, Sri Lanka dan Indonesia kerana tidak memiliki sebarang dokumen atau permit kerja.

Sumber : BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS