| Seri
Manjung, 23 Feb - Polis menembak mati tiga lelaki, dipercayai warga
asing, selepas mereka merompak seutas rantai emas daripada sepasang
suami isteri warga emas di sebuah rumah di Kampung Serapuh, Parit awal
hari ini. Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata
dalam kejadian 4 pagi itu suspek bertindak menakut-nakutkan mangsa
dengan meletak pisau di leher isteri dan memukul si suami menggunakan
pemotong besi sebelum melarikan seutas rantai emas milik mangsa. Beliau
berkata bertindak atas maklumat, Pasukan Op Cantas Khas Perak
terserempak dengan kereta jenis Proton Waja yang dinaiki ketiga-tiga
suspek dalam keadaan mencurigakan di Kampung Buruk Bakul, Jalan
Beruas-Parit iaitu empat kilometer dari rumah mangsa. "Ketika
pasukan polis cuba memintas kenderaan itu, seorang daripada
penumpangnya melepaskan dua das tembakan dan mengenai cermin sisi
sebelah kiri belakang kereta pasukan polis," katanya kepada para
pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini hari ini. Beliau
berkata kereta yang dinaiki penjenayah itu kemudian terbabas di bahu
jalan selepas dihimpit kenderaan pasukan polis yang mengejar mereka dan
dua lelaki bersenjata parang keluar serta cuba menyerang menyebabkan
polis melepaskan tembakan terhadap mereka untuk mempertahankan diri. Mohd
Dzuraidi berkata ketiga-tiga penjenayah yang berumur 20 hingga 30 tahun
itu mati di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Manjung untuk
bedah siasat. Beliau
berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta curi yang digunakan suspek,
polis menemui peralatan pecah masuk rumah, seutas rantai emas, sepucuk
pistol serta empat peluru hidup. Polis
masih belum memperoleh maklumat lengkap mengenai identiti kesemua
penjenayah dan akan merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk
menjalankan siasatan dengan lebih terperinci, katanya. Mohd
Dzuraidi berkata suspek yang bergerak aktif melakukan 15 jenayah samun
di sekitar Manjung, Perak Tengah dan Teluk Intan sejak tahun lepas itu
adalah sangat ganas kerana melakukan samun dengan meletakkan senjata ke
leher mangsa dan akan melakukan kekerasan sekiranya mangsa melawan. "Suspek
melakukan samun sekitar jam satu hingga lima pagi," katanya sambil
menambah polis tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga susepk adalah warga
asing berdasarkan kepada loghat mereka. Polis juga akan memanggil mangsa ke balai polis untuk mengecam pelbagai barangan kes yang disamun suspek, katanya. Dalam
kes berasingan, Mohd Dzuraidi berkata polis menahan dua lelaki
masing-masing berumur 27 tahun dan pelajar Tingkatan Lima berusia 17
tahun disyaki terlibat dalam kes curi motosikal di sekitar Kampung Gajah
di sini sejak tahun lepas. Katanya
dalam Op Lejang pada pukul 5 petang semalam, polis merampas tiga enjin
motosikal, empat kerangka motosikal serta komponen-komponen motosikal
yang dileraikan. "Kesemua
enjin motosikal itu bersangkut dengan tiga laporan kes kehilangan
motosikal di rumah dan masjid di Kampung Gajah," katanya. Beliau
berkata pelajar Tingkatan Lima itu akan bertindak mencuri motosikal dan
meleraikan komponennya di kawasan berhampiran rumah suspek pertama. Sumber : BERNAMA |