| Johor
Baharu, 13 Feb - Polis Marin Wilayah Dua menahan 10 orang Pendatang
Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia termasuk seorang wanita di Kota
Tinggi dekat sini semalam ketika cuba keluar dari negara ini secara
haram. Komandernya
ACP Zainul Abidin Hasan berkata kesemua PATI itu yang berusia 19 dan 29
tahun itu ditahan ketika berkumpul di kawasan ladang LGM Bandar Penawar
di sini pada pukul 3.30 petang. Beliau
berkata hasil soal siasat mendapati kesemua PATI itu mengaku sedang
menunggu bot pancung untuk balik ke Indonesia secara tidak sah. "Kesemua
PATI yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen
1959/63 Pindaan 2002 dan dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar, Kota
Tinggi untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Zainul
Abidin berkata bagi tempoh Januari hingga semalam, Polis Marin Wilayah
Dua mencatatkan 16 kes tangkapan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang
dan Anti Penyeludupan Migran (ATIP) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.
Sumber : BERNAMA |