| 19
Mac, Tawau - Penahanan tiga lelaki oleh sepasukan anggota Polis Marin
Tawau dalam Op Paradise awal pagi semalam dipercayai berjaya
menyelesaikan sembilan kes jenayah laut yang dilaporkan di Perairan
Tawau. Menurut
Komander PPM Wilayah Empat, ACP Mohamad Madun, bertindak atas maklumat
yang diterima pihak polis, bot yang dinaiki ketiga-tiga suspek berjaya
dipintas di kawasan perairan Mas-Mas, Tanjong Kiraz, Kalumpang, di sini
selepas gagal dalam cubaan meloloskan diri. Kesemua suspek yang berumur antara 18 hingga 56 tahun itu juga didapati tiada mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. "Polis
turut merampas sepucuk pistol mainan, dua topeng muka, satu tong gas,
dua unit telefon bimbit, dua lampu suluh, sebuah bot laju, papan lapis
dan seunit enjin sangkut bagi membantu siasatan," ujar Mohamad lagi. "Dengan
tertangkapnya mereka ini, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes
rompakan, samun dan kecurian enjin yang dilaporkan," tambah beliau. Kes
disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak
secara berkumpulan/bersenjata serta cuba menyebabkan kematian atau
cedera parah, dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cuba hendak
melakukan kesalahan.  Sumber : Pasukan Polis Marin Tawau |