| Klang,
5 April - Polis merampas selaras senapang dan 25 butir peluru dari
sebuah kereta pacuan empat roda milik seorang lelaki warga emas ketika
mengadakan sekatan jalan raya di Bukit Tinggi di sini awal pagi ini. Ketua
Polis Daerah Klang Selatan ACP Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya
bertindak menahan kenderaan dinaiki lelaki berusia 60-an itu selepas
menemui senapang jenis shot gun Bore Semi Auto Browning di atas kerusi
bahagian penumpang hadapan. "Pemeriksaan
mendapati lelaki itu mempunyai lesen senjata api tetapi senapang dan
pelurunya dirampas kerana tidak disimpan di dalam tempat khas. Lelaki
itu bagaimanapun tidak ditahan," katanya di sini hari ini. Beliau
berkata sekatan jalan raya itu diadakan sempena Ops Cantas Khas di enam
lokasi berasingan di daerah ini bermula 12.01 pagi sehingga 5 pagi. Enam
lokasi terlibat ialah di Jalan Banting-Klang, Jalan Kota Pendamar,
Jalan Sungai Jati, Persiaran Raja Muda Musa, Taman Sentosa dan Pulau
Indah-Bukit Tinggi. Kamarul
Zaman berkata turut dirampas dalam operasi itu ialah sebilah kapak, 92
keping cakera padat video (VCD) dan dadah disyaki jenis heroin seberat
0.22 gram. "Dalam
operasi berkenaan sebanyak 102 buah kenderaan telah diperiksa dan
sejumlah 48 saman bagi pelbagai kesalahan trafik telah dikeluarkan,"
katanya. Beliau
berkata seramai 16 individu berumur 23 hingga 45 tahun turut ditahan
termasuk seorang lelaki warga Nepal, dua lelaki warga Nigeria dan dua
wanita warga Indonesia. Kesemua warga asing terbabit ditahan kerana tidak memiliki pasport, katanya. Sumber : BERNAMA |