| Georgetown,
19 Feb - Sindiket yang ditumpaskan polis di Pulau Pinang pada Isnin
lepas merupakan rangkaian pengedaran dadah yang terbesar di utara
Semenanjung, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri
Zinin. Beliau
berkata sindiket itu, yang beroperasi sejak setahun lepas, menjadikan
sebuah unit kondominium di Green Lane di sini sebagai makmal memproses
dadah jenis heroin untuk diedarkan di negeri-negeri utara Semenanjung. Dalam
operasi itu, polis merampas 82.741 kilogram dadah jenis heroin bernilai
RM4 juta dan menahan dua lelaki dan dua wanita termasuk seorang wanita
rakyat China. Mereka
yang berusia antara 28 dan 42 tahun ditahan reman sehingga Jumaat ini
bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. "Dua
lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan
mereka baru sahaja dibebaskan daripada penjara kerana kesalahan dadah.
Kami percaya seorang daripadanya adalah perancang utama kumpulan ini,"
katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini. Mohd
Bakri berkata operasi itu bermula pada 9 malam Ahad hingga 12 tengah
hari pada Isnin lepas di beberapa lokasi di negeri ini. Ia
dilaksanakan bersama oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)
Bukit Aman dan Pulau Pinang serta Pasukan Khas Tektikal Perisikan
Narkotik (STING) hasil intipan dan risikan sejak setahun lepas. Serbuan
pertama dilakukan di sebuah restoran di Tanjung Tokong di mana polis
menahan sepasang suami isteri dan merampas 18 gram syabu, 137 gram
heroin dan 69 biji pil eramin 5. "Susulan
itu, kami menyerbu sebuah kedai urut di Midlands Park di sini dan
menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta merampas 34
gram heroin," katanya. Beliau
berkata seorang daripada lelaki itu kemudian membawa polis ke sebuah
unit kondominium di Green Lane dan hasil pemeriksaan, polis merampas
73,500gram dipercayai dadah jenis heroin, 9,070 gram dadah dipercayai
asas heroin dan 163.9 kilogram kafein. Polis
turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses
dadah termasuk pencair, klorofom, cecair kimia, asid sulphamic, ketuhar
gelombang mikro, plat panas elektrik dan bahan tampal. Mohd
Bakri berkata polis turut menyita empat kereta jenis Nissan Grand
Livina, BMW, Mercedes Benz dan Peugeot serta sebuah motosikal, barang
kemas dan wang tunai sebanyak RM16,593. "Siasatan
awal polis mendapati kumpulan itu mempunyai hubungan dengan beberapa
sindiket pengedaran dadah di negara ini," katanya.   Sumber : BERNAMA
Foto : Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang |