| Jerteh,
6 Feb - Tiga suspek pengedar dadah termasuk sepasang suami isteri
ditahan dalam serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik
(BSJN) Ibu Pejabat Polis Besut di Kampung Ayer Terjun dekat sini
semalam.
Ketua
Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata dalam serbuan
pertama kira-kira jam 4 petang semalam sepasang suami isteri berumur 23
dan 17 tahun ditahan di rumah sewa mereka ketika sedang membungkus dadah
yang dipercayai untuk diedar kepada pelanggan.
Katanya
ekoran penahanan itu, polis menemui 604 biji pil berwarna merah dan
hijau yang dipercayai pil kuda (Metamphetamine) bernilai RM12,600.
"Pasangan
yang positif dadah itu didapati aktif mengedar dadah di kawasan
tempatan kira-kira setahun yang lalu," katanya kepada pemberita di sini
hari ini.
Beliau
berkata dalam kejadian berasingan kira-kira setengah jam kemudian di
kampung sama, polis yang cuba menahan seorang suspek berumur 39 tahun
telah diancam dengan pisau.
Ketika
pasukan BSJN cuba memasuki sebuah rumah di Kampung Gong Penaga, Ayer
Terjun, suspek cuba melarikan diri dengan memegang sebilah pisau sambil
mengancam akan menikam anggota polis yang bertugas, kata Kamaruddin.
Bagaimanapun
katanya atas kebijaksanaan dan kepantasan pasukan, suspek dapat
ditewaskan dan sebanyak 26 biji pil berwarna merah dipercayai dadah
turut ditemui daripadanya.
Dalam
satu kejadian lain, Kamaruddin berkata hasil maklumat awam, polis
menahan seorang lelaki berumur 19 tahun dari Kampung Raja yang
dipercayai bergiat meleraikan komponen motosikal dan kereta curi.
Ekoran
penangkapan itu, polis menemui rangka motosikal dan kereta yang dibuang
ke dalam sebuah tali air di kawasan rumah ibu bekalan dan pintu air
pasang surut, Skim Pengairan Pengkalan Nangka, katanya.
Sumber : BERNAMA |