| Kota
Kinabalu, 7 April - Tindakan pantas polis berjaya menyelamatkan seorang
kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun daripada diculik oleh individu
tidak dikenali di kawasan meletak kereta Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina)
Chung Hwa Likas, awal hari ini. Timbalan
Ketua Polis Kota Kinabalu Supt M. Chandra berkata dalam kejadian
kira-kira pukul 6 pagi itu kanak-kanak yang sedang tidur di dalam kereta
milik ibunya dilarikan sejauh kira-kira enam kilometer oleh penjenayah
sebelum ditemui ditinggalkan di kawasan Asia City sejam kemudian. "Kami
sedang mengenal pasti sama ada terdapat mana-mana kamera litar tertutup
di kawasan Asia City yang berjaya mengesan kenderaan itu dan percaya
kes itu adalah cubaan menyamun kereta," katanya. Chandra
berkata pihaknya sedang menyiasat penglibatan lebih daripada seorang
suspek melarikan kereta itu dan orang ramai yang menyaksikan kejadian
itu diminta tampil untuk membantu siasatan polis. "Kanak-kanak
itu bernasib baik kerana sepanjang kenderaan ibunya dilarikan dia
sedang tidur dan jika sebaliknya pasti kejadian ini akan membawa kesan
trauma ke atas dirinya," katanya. Difahamkan
ibu mangsa yang berusia 40-an dikenali sebagai Chung meletakkan kereta
jenis Toyota Vios dengan enjinnya dibiarkan hidup ketika singgah membeli
makanan sebelum beberapa minit kemudian kanak-kanak itu hilang bersama
kenderaan itu. Sumber : BERNAMA |