| Johor
Bahru, 9 Mac - Polis menahan tujuh lelaki dipercayai terlibat dalam kes
samun dan bunuh Ketua Wanita Umno Cawangan Felda Semenchu, Zalifah
Jamaluddin, dekat Kota Tinggi, hujung bulan lepas. Ketua
Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua suspek yang
berumur 23 hingga 27 tahun itu ditahan di kawasan felda tersebut dan
Stulang Laut di sini, pada petang Khamis lepas. "Polis
menemui semula barangan milik mangsa membabitkan dua telefon bimbit,
tiga jam tangan, sejumlah barangan kemas dan kad mesin pengeluaran wang
automatik (ATM)," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Mohd
Mokhtar berkata kesemua suspek merupakan penagih dadah dan berasal dari
felda itu dengan seorang daripada mereka dikehendaki polis. Kesemua suspek kini direman sehingga 21 Mac depan untuk siasatan. Zalifah,
68, yang juga seorang peniaga pakaian ditemui mati di rumahnya di Felda
Semenchu pada 12.20 tengah hari, 28 Feb lepas, oleh anak lelakinya yang
mengesyaki sesuatu berlaku setelah mangsa tidak menjawab panggilan
telefon. Dalam
kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya menyelesaikan 18 kes pecah
rumah dan dua kes curi kenderaan di bandar raya ini dengan penahanan
lima lelaki di Kampung Usaha Jaya, Tampoi, di sini, Selasa lepas. Beliau berkata kesemua mereka yang berumur 21 hingga 33 tahun itu ditahan pada 11.30 pagi dalam serbuan di sebuah rumah. "Polis
merampas 12 parang, empat telefon bimbit, sebuah motosikal dan van yang
dilaporkan hilang di Tampoi, tiga gulung kabel, satu kuku kambing, enam
alat pemotong, spanar yang diubah suai, satu komputer riba serta dua
alat pemain DVD dalam serbuan berkenaan," katanya. Menurut
Mohd Mokhtar, tiga daripada lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah dan
kesemua mereka kini direman sehingga esok untuk siasatan lanjut.    Sumber : BERNAMA Sumber gambar : Laman Facebook Rasmi Polis JOHOR |