BOOKIE BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2014 DITAHAN
George Town, 13 Jun - Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki yang
dipercayai 'bookie' perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014 di sebuah
kedai di Paya Terubung, dekat sini awal pagi ini.
Ketua
Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata bertindak atas maklumat
dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi
dan Maksiat (D7) menyerbu kedai berkenaan dan menahan seorang lelaki
berusia 48 tahun, pada pukul 2.45 pagi.
"Dalam
serbuan itu, polis merampas wang tunai sebanyak RM1,990, sebuah mesin
pengira, komputer riba, alat jalur lebar dan resit pendua yang
dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian.
"Hasil
siasatan awal kami mendapati lelaki itu menjadi 'bookie' bagi
perlawanan bola sepak antara Brazil dan Crotia yang berlangsung awal
pagi ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian pangkat
Inspektor ke pangkat ASP, di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang, di
sini hari ini.
Katanya lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.
Sementara
itu, Abdul Rahim berkata pihaknya menubuhkan sebuah pasukan khas bagi
memantau aktiviti perjudian bola sepak sepanjang berlangsung Piala Dunia
2014 yang bermula hari ini.
Katanya
pemantauan secara rapi dilakukan kerana menyedari perlawanan Piala
Dunia mendapat perhatian ramai peminat bola sepak terutama kaki judi.
"Kami
akan pantau secara rapi kerana selain 'bookie' mengambil kesempatan
untuk mengaut keuntungan, aktiviti itu menyalahi undang-undang,"
katanya.
Beliau
turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung
aktiviti perjudian bola sepak agar menghubungi mana-mana balai polis
berdekatan bagi menyalurkan maklumat.
Sumber: BERNAMA