Kota Kinabalu, 16 Jun - Polis Sabah menahan dua lelaki yang menjalankan
aktiviti perjudian membabitkan perlawanan bola sepak Piala Dunia dalam
serbuan berasingan di Penampang pada Sabtu dan semalam.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Omar Mammah berkata pada serbuan
pertama Sabtu lepas, seorang lelaki berusia 26 tahun ditangkap di sebuah
premis membaiki telefon bersama-sama wang pertaruhan berjumlah
RM10,000. "Turut dirampas set komputer, telefon bimbit dan wang tunai
(RM10,000)," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Omar berkata seorang lelaki
berusia 24 tahun ditahan di sebuah kedai runcit bersama-sama buku
catatan keputusan dan pertaruhan Piala Dunia pada petang
semalam.
Menurutnya, kes disiasat
mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang membawa hukuman penjara
tidak lebih lima tahun, denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih
RM200,000, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata polis serius
menangani aktiviti itu dengan menubuhkan pasukan khas menangani aktiviti
perjudian sepanjang musim Piala Dunia.
Sumber: BERNAMA