Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

LIMA LELAKI DITAHAN DISYAKI SINDIKET JUDI PIALA DUNIA 2014

Kuantan, 20 Jun - Polis menahan lima lelaki dipercayai terlibat
dengan sindiket perjudian bola sepak Piala Dunia 2014 melibatkan wang pertaruhan RM100,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Zakaria Ahmad
berkata mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an ditahan secara berasingan dalam Ops Soga sejak beberapa hari lepas.

"Pada 1.40 pagi tadi, seorang lelaki ditahan di sebuah kopitiam dekat Jalan Air Putih di sini kerana disyaki menerima pertaruhan
judi bola sepak."Suspek ditahan ketika sedang menjalankan urusan jual beli dengan pengguna melalui Internet. Polis turut merampas sebuah iPad dan beberapa kad sim telefon," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Selain itu, tiga lelaki ditahan di Kuantan manakala masing-masing satu di Kuala lipis dan Temerloh.

Dalam serbuan berasingan itu, polis merampas wang tunai
RM1,680, sebuah komputer, iPad, lima buah telefon bimbit dan dua modem wifi yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pertaruhan itu.

"Mengikut Seksyen 6, Akta Pertaruhan 1953, penganjur boleh dikenakan denda maksimum RM200,000 dan penjara lima tahun manakala pemain judi boleh didenda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak lebih enam bulan," katanya.

Menurutnya sindiket itu dipercayai berurusan dengan menggunakan
telefon bimbit dan laman web perjudian antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, Zakaria berkata polis menahan 1,135 orang dipercayai terbabit aktiviti mesin judi dalam 176 serbuan di seluruh Pahang sejak Januari sehingga semalam.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 3,762 unit komputer yang
dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian itu dan wang tunai
RM73,815," katanya.

Kuantan adalah daerah tertinggi terbabit dengan aktiviti mesin judi
ini diikuti Temerloh dan Mentakab.

Sumber: BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS