GENG KERAT JARI MANGSA CULIK DITAHAN
Kuantan, 23 Jun - Dua remaja perempuan adalah antara lapan anggota
kumpulan ganas 'Geng Padu' yang ditahan dalam dua serbuan di sebuah
rumah di Jalan Bukit Ubi di sini Rabu lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Zakaria Ahmad berkata anggota
kumpulan itu yang berumur lingkungan 17 hingga 32 tahun ditahan antara
pukul 11.45 pagi dan 4.30 petang.
Kumpulan
ini aktif melakukan kegiatan jenayah di sini sejak awal tahun ini dan
setakat ini dipercayai terlibat dalam lapan kes yang melibatkan tiga kes
samun, dua kes pecah rumah, satu kes curi kenderaan dan satu kes
memiliki pistol.
"Malah
siasatan awal mendapati kumpulan ini juga terlibat dalam satu kes
penculikan dan pengurungan salah membabitkan seorang mangsa wanita pada 1
Mei lepas di Indera Mahkota.
"Dalam
kes ini mangsa telah didera selain dikerat jarinya kerana dipercayai
menjadi tali barut polis," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat
Polis Kontijen Pahang di sini hari ini.
Zakaria
berkata pihak polis turut merampas sepucuk pistol colt automatic 22
special magnum bersama 14 butir peluru yang dipercayai baru dibeli dari
negara jiran.
"Kumpulan
ini berbahaya, sangat berani, ganas dan menggunakan parang dan pisau
semasa menyamun. Polis percaya jika belum tertangkap, kumpulan ini juga
akan menggunakan pistol," katanya.
Hasil samun seperti telefon bimbit, TV LCD serta sebilah pedang samurai, sebuah pacuan empat roda dan kereta turut dirampas.
Beliau berkata kesemua mereka yang dipercayai penagih ditahan reman sehingga 1 Julai.
Sumber: BERNAMA