Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

ENAM TERMASUK DUA WARGA INDONESIA DITAHAN BERKAITAN KES CULIK

Alor Setar, 30 Dis - Polis Kedah menahan lima lelaki dan seorang wanita termasuk dua warga Indonesia kerana dipercayai terlibat dalam kes penculikan isteri dan anak perempuan seorang ahli perniagaan di sebuah pusat membeli belah di sini 23 Dis lepas.

Dalam kejadian 7.30 malam itu kedua-dua mangsa berumur 17 dan 40 tahun telah diculik dan dibawa ke sebuah apartmen di sekitar Kuala Lumpur dengan menggunakan kenderaan mewah mangsa.

Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata dua mangsa culik dibebaskan semula pada 25 Disember lepas kira-kira pukul 8.30 malam di sebuah pusat membeli belah di ibu negara.

Pembebasan dilakukan selepas ahli perniagaan berumur 50-an itu membayar wang tebusan sebanyak RM35,000 menerusi akaun salah seorang suspek tanpa pengetahuan pihak polis, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kedah hari ini.

Menurut Zakaria, siasatan polis telah membawa kepada penangkapan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 20 hingga 30-an di sekitar Alor Setar pada 27 Dis lepas.

"Dua lagi lelaki warga Indonesia berusia 27 dan 35 tahun ditahan di Setapak, Kuala Lumpur semalam (29 Dis) oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah yang turut dibantu oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan JSJ Bukit Aman," katanya.

Pihaknya kata beliau, turut merampas sebuah kereta jenis Honda, wang tunai RM5,000 termasuk sebahagian wang tebusan, 10 buah telefon bimbit, barangan kemas dan jam tangan, sebuah komputer riba, pasport dan resit pengeluaran wang daripada mesin pengeluaran wang (ATM).

Siasatan lanjut polis katanya, mendapati salah seorang daripada suspek memiliki kesalahan lampau mencuri kenderaan pada 2013, manakala suspek yang lain tidak memiliki rekod lampau.

Katanya, enam yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebatan.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS