MERSING : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 berjaya menahan sebuah bot yang beroperasi tanpa lesen di perairan Telok Meriam, Pulau Aur, semalam.
Komander PPM Wilayah 2, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata, semasa pemeriksaan dijalankan bot terbabit gagal mempamerkan lesen bot dan berlayar tanpa lesen.
Susulan itu, seorang lelaki tempatan dipercayai tekong bot ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Laut untuk disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Tambah beliau, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan sentiasa memandang serius hal berkaitan keselamatan perairan negara.