Sarikei, 8 Mei - Sebuah kapal tempatan yang sarat dengan muatan rotan seberat 52 tan berjaya dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 dalam satu operasi yang dijalankan di Perairan Sungai Simpang Empat Paloh, dekat sini, kelmarin.
Komander PPM Wilayah 5, ACP Kalai Chelvan A/L Nadarajan berkata, pihaknya telah memeriksa sebuah kapal yang di dalamnya dimuatkan sejumlah rotan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati juragan gagal menunjukkan sebarang permit import dan eksport yang dibenarkan.
"Turut ditahan 16 awak-awak warga asing kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Kastam 1967 kerana membawa rotan tanpa permit.