Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS MARIN RAMPAS 2,290 KARTON ROKOK SELUDUP PELBAGAI JENAMA

Tumpat, 29 Okt - Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor berjaya merampas 2,290 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM226,800 dalam serbuan di pengkalan haram Pulau Tengkorak di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, ASP Mohd Nawi Yunus berkata beliau bersama empat anggotanya membuat serbuan di pengkalan haram itu pada pukul 3.20 pagi semalam.

"Ketika tiba berhampiran lokasi serbuan, beberapa lelaki dilihat sedang memunggah sesuatu dari sebuah bot di tebing pengkalan itu.

"Sebaik menyedari kehadiran kami, semua suspek terjun ke dalam Sungai Golok dan ada yang melarikan diri ke Thailand dengan menggunakan perahu," katanya kepada pemberita dalam sidang media di PPM Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Mohd Nawi berkata hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan, polis menemui 45 kotak besar mengandungi pelbagai jenis rokok putih yang dipercayai di seludup dari negara jiran.

Beliau berkata siasatan awal mendapati semua suspek yang terlibat adalah warga asing yang melakukan aktiviti penyeludupan untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan.

"Mereka menggunakan bot kecil dan pengkalan haram itu kerana kawasannya yang agak gelap selain mempunyai hutan yang tebal agar mudah meloloskan diri dan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata rampasan rokok seludup itu adalah yang pertama tahun ini dan langkah memperketat kawalan akan diteruskan bagi mengekang aktiviti berkenaan daripada berleluasa.

Semua barang rampasan dibawa ke markas operasi PPM Pengkalan Kubor dan kes akan dirujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS