Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS TUMPASKAN GENG AZHAR, TAHAN LIMA INDIVIDU

Kajang, 24 Mac 2016 - Polis menumpaskan Geng Azhar, yang menyamar sebagai pegawai Kastam Diraja Malaysia untuk menyamun, selepas menahan lima anggotanya termasuk seorang wanita dalam serbuan di Rawang dan Petaling Jaya dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Willey Richard berkata mereka, yang berusia antara 32 hingga 55 tahun, ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dalam operasi bermula 1 pagi semalam. 

Beliau berkata polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita dalam serbuan pertama di sebuah pangsapuri di Taman Tasik Biru, Rawang.

"Polis turut menemui pelbagai barangan antaranya pakaian seragam kastam dan polis, kad kuasa kastam, kad prabayar, rokok dan barangan lain dipercayai hasil samun dan digunakan suspek untuk melakukan samun," katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang di sini, hari ini.

Hasil soal siasat kemudian membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki di
sebuah rumah di Desa Mentari, Petaling Jaya.

Willey berkata kumpulan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun di sekitar Kajang sejak tahun lepas dengan menyasarkan kedai runcit.

"Mereka masuk dengan uniform (pakaian seragam) dan memperkenal diri sebagai pegawai kastam sebelum bertindak mengambil barang di dalam kedai berkenaan
termasuk wang tunai," katanya.

Mereka direman enam hari sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan masing-masing kerana menyamun dan menyamar sebagai penjawat awam.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS