Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

137 DITAHAN DI SELANGOR BERKAITAN KONGSI GELAP

Petaling Jaya, 22 Ogos 2016 - Sebanyak 137 individu ditahan dalam Op Cantas Khas 2 di sekitar Selangor berkaitan aktiviti kongsi gelap.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata 76 daripada mereka dikenal pasti sebagai anggota kumpulan kongsi gelap seperti geng '36', '04' dan 'Satu Hati'.

Katanya 61 lagi yang ditahan sejak operasi berjalan pada Ogos 6 hingga semalam disyaki terlibat dalam kegiatan kongsi gelap. Kesemua yang ditahan berusia antara 20 dan 50 tahun.

Mohd Fuad berkata 76 yang dikenal pasti sebagai ahli kongsi gelap mempunyai tatu pada badan mereka.

"Mereka mempunyai tatu lambang kumpulan yang diharamkan oleh kerajaan," katanya dalam sidang media selepas majlis pelupusan barang Kes di Balai Polis Ara Damansara di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Yahya Abdul
Rahman dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Zani Che Din. 
   
Mohd Fuad berkata operasi Op Cantas Khas akan dijalankan berterusan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Mohd Fuad berkata 400 orang dipercayai penjaga premis perjudian ditahan di sekitar Selangor dalam operasi bermula 12 Julai lepas sehingga semalam.
Katanya 7,260 mesin judi yang dianggarkan bernilai RM 5.8 juta turut dirampas.

"Polis turut merampas wang tunai berjumlah lebih RM 40,000 dalam 447 serbuan," katanya.

Terdahulu, 3,659 peralatan judi dalam talian seperti komputer yang dirampas Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dari 2002 hingga 2015, dilupuskan.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS