Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

PELAJAR 14 TAHUN DITAHAN KERANA TERLIBAT SALAH GUNA DADAH

Jempol, 30 Ogos 2016 - Tiga remaja wanita termasuk seorang pelajar berusia 14 tahun serta seorang remaja lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di sebuah bilik hotel di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Noorzainy Mohd Noor berkata pelajar itu yang
berperwatakan seperti lelaki adalah pelajar sebuah sekolah di ibu negara, tetapi dalam proses perpindahan untuk bersekolah di daerah ini. 

"Polis melakukan serbuan di sebuah bilik di hotel itu pada pukul 7 malam dan menemui satu paket ganja seberat 0.09 gram, dua paket syabu seberat 0.46 gram serta peralatan menghisap dadah.

 "Ujian air kencing ke atas mereka didapati positif dadah. Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya dua remaja wanita yang lain berusia 20 dan 25 tahun manakala remaja lelaki itu pula berumur 17 tahun. 

Noorzainy berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengguna dah memiliki dadah. 

Sementara itu, Noorzainy berkata seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan di rumah keluarganya di Felda Serting Hilir dekat sini pada Ahad lepas kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah. 

Beliau berkata suspek cuba melepaskan diri ketika diserbu tetapi gagal dan pemeriksaan lanjut menemui dadah jenis heroin dan syabu bernilai kira-kira RM6,900 dalam beg pinggangnya. 

"Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori," katanya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS