Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

TINDAKAN PANTAS POLIS BERJAYA TAHAN EMPAT SUSPEK WARGA ASING

Kuching, 21 Okt - Tindakan pantas polis, ditambah dengan penggunaan aplikasi WhatsApp secara efisien, berjaya menahan empat warga asing kira-kira dua jam selepas mereka dipercayai merompak sebuah kedai haiwan peliharaan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Datuk Dev Kumar M.M. Sree Shunmugam berkata keempat-empat suspek ditahan di Sri Aman, kira-kira 200km dari sini.

Katanya dalam kejadian pada 1.30 tengah hari di kedai haiwan peliharaan itu di Sarikei, kira-kira 300km dari sini semalam, empat suspek dilaporkan merampas beg kantung pemilik kedai, sebelum melarikan diri dari tempat kejadian dengan kereta Toyota Vios.

Beliau berkata pemilik kedai membuat laporan di Balai Polis Sarikei dengan segera, dan seorang daripada anggota polis kemudian mencatatkan ciri-ciri suspek dan kenderaan yang digunakan, melalui aplikasi 'WhatsApp groups' polis daerah.

"Mesej itu segera dikongsikan dalam 'whatsapp groups' polis daerah berjiran.

Pada kira-kira 3 petang, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Kanowit Insp Mohd Razif Mohd Yusof yang dalam perjalanan pulang ke Kanowit selepas menghadiri mesyuarat di Kuching membaca mesej mengenai empat suspek itu," katanya dalam
kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata di persimpangan Betong, Razif terlihat Toyota Vios yang sepadan dengan keterangan dicatat, dan selepas dikejar oleh pihak polis, kenderaan itu dipintas oleh anggota CID Sri Aman di kawasan Wong Padong pada 3.45 petang, hanya beberapa kilometer sebelum sampai ke bandar Sri Aman.

Dev berkata empat suspek dari Manila, Filipina, berumur antara 36 dan 44 tahun ditahan dan beg kantung yang mengandungi RM11,000 dan dua telefon bimbit yang dilaporkan dicuri sebelum itu, ditemukan di dalam kereta.

Beliau berkata penyebaran maklumat dengan pantas, peka dan berfikir dan bertindak dengan pantas telah membawa kepada penahanan suspek dengan jayanya, ditambah pula dengan kerjasama rapat CID di tiga daerah.

"Siasatan awal mendapati kereta yang digunakan keempat-empat suspek dengan dokumen perjalanan yang sah, merupakan kereta sewa, dan seorang daripada mereka memasuki Sarawak awal Oktober, manakala tiga yang lain masuk pada pertengahan Oktober," katanya.

"Ini merupakan pertama kali sekumpulan penjenayah Filipina ditahan di negeri ini dan kami percaya bahawa mereka baru sahaja memulakan kegiatan jenayah mereka," katanya. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS