POLIS JELEBU RAMPAS ROKOK SELUDUP BERNILAI LEBIH RM19,000
Seremban, 1 November 2016 - Polis Jelebu merampas 1,250 karton rokok seludup pelbagai jenis bernilai RM19,551.60 dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Batu 10, Kampung Petaseh Hulu di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Jelebu DSP Othman Basri berkata dalam operasi oleh sepasukan enam anggota dan pegawai itu hasil maklumat orang awam, rumah berkenaan tidak berpenghuni.
"Sewaktu pemeriksaan dibuat, rumah tersebut tidak berpenghuni dan anggota telah mengumpil pintu stor dibahagian tepi rumah yang dipercayai di mana rokok seludup itu disimpan.
Setelah stor berjaya dibuka, kami telah menemui beberapa beberapa bungkusan dan kotak yang mengandungi pelbagai jenama rokok dipercayai rokok seludup," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan dan kotak itu, polis menemui di dalamnya terdapat rokok putih 20's pelbagai jenama sebanyak 7,590 bungkus, rokok keretek 12's pelbagai jenama (4,130 bungkus) dan rokok keretek 16's pelbagai jenama (783 bungkus), masing-masing belum dikenakan cukai.
"Hasil maklumat, pihak Kastam Diraja Malaysia mendapati nilai rampasan rokok tersebut sebelum cukai dianggarkan RM19,551.60 manakala nilai selepas cukai
dianggarkan RM139,600.53," katanya.
Othman berkata kesemua rokok terbabit dijadikan barang rampasan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang larangan import.
Beliau berkata usaha mengesan pemiliknya kini giat dijalankan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, empat lelaki ditahan dalam Op Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 dan Op Tapis yang dijalankan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tampin di kebun getah, Felda Bukit Jalor, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Ab Razak berkata saringan awal polis mendapati kesemua mereka yang ditahan berusia antara 27 hingga 59 tahun itu positif dadah jenis opite dan methadone.
Hamazah berkata seorang daripada suspek yang ditahan adalah orang yang dikehendaki polis dan mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Beliau berkata kesemua suspek disiasat dibawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) (LLPK) 1985, Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952. - BERNAMA