Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS TAHAN 130 PENUNGGANG PADA OP KHAS SAMSENG JALANAN DI KUANTAN

Kuantan, 16 April 2017-- Polis menahan 130 penunggang motosikal dan mengeluarkan 89 saman serta menyita 10 motosikal dalam Op Khas Samseng Jalanan di daerah ini, yang diadakan selama lima jam bermula 12 tengah malam, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata saman itu melibatkan pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai lesen memandu, mempamerkan cukai jalan tamat tempoh, menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, gagal menampal pelekat P dan L serta tiada cermin sisi.

“Pada operasi itu, polis juga menahan seorang remaja lelaki yang tidak lagi bersekolah kerana menunggang sebuah motosikal jenis Modenas Kris yang disyaki dicuri sejak beberapa bulan lalu selain menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Suspek yang berusia 17 tahun itu ditahan di hadapan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini selepas polis menjumpainya sedang menunggang dalam keadaan berbahaya kerana dipercayai menyertai aktiviti lumba haram," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdul Aziz menambah polis juga terpaksa mengejar suspek sejauh beberapa meter sebelum berjaya menahannya.

Beliau menambah suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan mengikut Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan iaitu mencuri, yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun, denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Abdul Aziz berkata operasi itu membabitkan dua pegawai dan 19 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Balai Polis Trafik Kuantan selain dibantu 29 Sukarelawan Polis (PVR).

--BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS